Mempunyai sperma yang sihat meningkatkan peluang untuk hamil dan mempunyai bayi yang sihat. Kualiti dan kesihatan sperma boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Semua pasangan yang menghadapi masalah hamil perlu membuat analisis air mani untuk mencari kesihatan dan kualiti sperma.
Apakah definasi sperma yang sihat?
Kesihatan sperma bergantung kepada 3 faktor utama:
- Kuantiti: Bilangan sperma dalam satu ejakulasi digunakan untuk kiraan sperma. Kesuburan biasanya akan berlaku jika air mani dalam satu ejakulasi mengandungi sekurang-kurangnya 15 juta sperma dalam setiap mililiter air mani. Bilangan sperma yang tinggi meningkatkan peluang untuk kesuburan berlaku.
- Pergerakan: Untuk sperma mencapai dan menyuburkan telur, sperma mesti bergerak/berenang melalui serviks, rahim dan tiub fallopio. Pergerakan sperma dikenali sebagai motilitas sperma. Syarat untuk sperma yang sihat adalah mesti terdapat sekurang-kurangnya 40% daripada sperma dalam satu ejakulasi bergerak untuk meningkatkan peluang kehamilan.
- Struktur/Morfologi: Sperma yang sihat mempunyai kepala bujur dengan ekor panjang. Morfologi ini mampu membantu menggerakkan/mendorong sperma ke hadapan.
Keputusan analisis air mani yang normal memerlukan sekurang-kurangnya 15 juta sperma setiap mililiter air mani dengan sekurang-kurangnya 40% daripada sperma menunjukkan pergerakan ke hadapan dengan bentuk/morfologi yang normal.
Apakah faktor yang akan menjejaskan kesihatan sperma?
Kesihatan sperma boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:
- Umur: Bagi mereka yang berumur lebih daripada 45 tahun, mereka berkemungkinan mempunyai sperma yang kurang sihat dan akan menghasilkan lebih sedikit air mani berbanding dengan masa muda. Biasanya, bilangan sperma, motilitas dan kualiti juga mungkin lebih rendah.
- Berat badan berlebihan: Untuk sesiapa yang berlebihan berat badan/obes, mereka berkemungkinan mempunyai kiraan sperma yang lebih rendah atau sperma dengan motilitas yang lebih rendah. Berat badan yang berlebihan juga mungkin menjejaskan gen dalam sperma yang akan diturunkan kepada bayi.
- Merokok dan alkohol: Merokok dan minum yang mengandungi alkohol berlebihan akan menurunkan jumlah sperma dan kualiti sperma. Minuman alkohol yang berlebihan akan menurunkan pengeluaran testosteron juga yang mungkin menjejaskan ereksi.
- Jangkitan kelamin (STD/STI): Menghidapi penyakit kelamin yang tidak dirawat atau sebahagiannya dirawat akan mengganggu fungsi normal sistem pembiakan.
- Ubat: Ubat-ubatan tertentu dan ubat haram boleh menjejaskan kesihatan sperma. Contohnya, pengambilan steroid anabolik boleh menyebabkan kemudaratan kekal kepada pengeluaran sperma.
- Toksin Alam Sekitar atau Pekerjaan: Produk toksik seperti racun perosak, bahan kimia, sinaran dan logam berat boleh menjejaskan kuantiti dan kualiti sperma. Oleh itu, sesiapa yang terdedah kepada produk toksik semasa bekerja hendaklah mematuhi peraturan kesihatan dan keselamatan pekerjaan dengan tegas.
- Haba: Suhu yang tinggi akan menjejaskan penghasilan sperma yang berkualiti. Oleh itu, sebaiknya elakkan mandi panas/spa dan jangan memakai pakaian dalam yang ketat.
Bagaimana untuk mengekalkan sperma yang sihat?
- Senaman dan penurunan berat badan:
- Bagi sesiapa yang mempunyai berat badan berlebihan, menurunkan berat badan adalah cara terbaik untuk meningkatkan kesihatan sperma. Kajian telah menunjukkan bahawa penurunan berat badan boleh meningkatkan jumlah, kepekatan dan motilitas air mani dengan ketara.
- Selain itu, senaman boleh membantu menurunkan berat badan dan meningkatkan tahap testosteron. Oleh itu, ia membantu meningkatkan kesuburan.
- Elakkan penyalahgunaan bahan:
- Elakkan minuman keras, merokok dan penggunaan bahan haram.
- Semua ini akan menjejaskan pengeluaran, kualiti dan kuantiti sperma
- Ambil suplemen/vitamin:
- Suplemen/vitamin tertentu boleh membantu penghasilan sperma dan kesuburan contohnya: vitamin D, zink, ashwagandha, maca, L-arginine, Tribulus, CoQ 10 dan sebagainya.
- Bersantai dan kurangkan tekanan:
- Tekanan boleh mengurangkan dorongan seks/libido dan menjejaskan kesuburan
- Makan sihat dan makan lebih banyak makanan yang mengandungi antioksidan.